Assalamualaikum wbt.
Disiplin adalah sebahagian daripada syllabus penting dalam pengajian madrasah. Bahkan dikatakan, jika tidak kerana menghafal al Quran sekalipun, hanya semata mata kerana tarbiah disiplin, suasana dan amalan madrasah itu sahaja sudah memadai untuk hantar anak ke madrasah. Apatah lagi hafalan al Quran itu sendiri adalah suatu keajaiban yang memerlukan bantuan daripada Allah swt, yang mana bantuan Allah itu diundang dengan suasana dan amalan soleh, bukan sekadar kaedah hafazan semata mata. Demikian juga sifat taat dan hormat kepada guru, semua ini teranyam di dalam sistem disiplin yang tersusun untuk pelajar di madrasah.
Sistem disiplin ini memerlukan sifat taat : yang mana pelajar mematuhi kehendak kehendak guru dan madrasah tanpa persoalan. Sifat inilah yang akan membantu kadar kemajuan pelajar itu sendiri. Pelajar yang tidak taat waalaupun pandai, akan susah maju dalam pengajian al Quran, dan pelajar yang dikatakan kurang pandai tetapi taat akan lebih mudah untuk maju.
Oleh sebab itu saya mohon dan gesa agar ibu bapa meletakkan kepentingan yang tinggi terhadap disiplin anak anak, khususnya yang melibatkan ibu bapa seperti waktu datang ke madrasah dan waktu balik, kelengkapan dan pakaian pelajar serta bahan larangan di madrasah. Perkara yang nampak kecil boleh menyebabkan kesan negatif kepada pelajar.
Semoga Allah pelihara kita semua daripada kelemahan diri diri kita serta menerima anak anak kita menjadi ahli Al Quran.