Webste Rasmi MATAF & MAFAZ

Harga seorang Ulama / Solihin

Tak keterlaluan kalau saya kata semua ibubapa muslim mengharapkan anaknya menjadi seorang yang memelihara agama bila dewasa. Dan dalam meletakkan impian tersebut, seringkali role model disebut untuk dijadikan contoh kepada anak anak yang sedang menjalani proses pembentukan peribadi mereka. Kita nak anak anak kita jadi macam Ulama sekian, tokoh sekian, memberi sumbangan kepada umat dalam bentuk sekian sekian…. Impian itu sangat indah dan sangat terpuji. Namun kita kena fikir di sebalik sosok tubuh tokoh yang kita impikan itu, ada sejarah dan pengorbanan yang berlaku sebelum tokoh tersebut menjadi tokoh.

Petiklah mana mana tokoh hebat, dalam keagamaan atau keduniaan sekalipun. Mereka ini ibarat berlian yang sukar dicari apatah lagi untuk ditemui. Pasti sebelum mereka sampai ke kedudukan mereka sekarang, panjang kisah hidup mereka yang bersulamkan pengorbanan perasaan, harta, masa dan mungkin nyawa!

Ramai daripada mereka bermula dengan kemiskinan. Dan kesemua mereka melalui proses pembentukan sahsiah dan kemahiran yang membolehkan mereka menjadi tokoh yang dipuji puji. Kita kena renung, mengapa mereka memiliki ketokohan tersebut? Seorang pakar bedah yang tersohor sudah tentu telah menghabiskan berpuluh ribu jam di hospital dan di bilik bilik bedah; dengan pengorbanan masa peribadi dan waktu rehat yang tak tercapai oleh kita. Beribu ribu hari doktor itu terpaksa tidur di hospital, atau tidak dapat meluangkan masa dengan keluarga kerana mendatangi tugasan di hospital, di waktu mudanya terpaksa melakukan tugasan di hospital dan pada masa yang sama mengambil Kursus kepakaran. Berapa banyak mental stress yang dihadapi, kerinduan kepada keluarga yang dilalui, perit jerih badan yang dihidapi, semuanya dalam perjalanan ke arah ketokohan yang kita kagumi itu.

Kita jangan terperangkap dengan romanticism sesuatu perkara. Meromantikkan pakar bedah adalah hanya melihat doktor pakar itu hanya pada luaran : Kehebatan seorang doktor pakar dengan pelbagai kelulusan dibelakang namanya, dengan kot putih bersih, wajah cerita yang tersenyum di dalam pejabat mewah, dengan potret keluarga bahagia berlatarbelakangkan kereta mewah dan banglo besar – tersemat di feature wall pejabat mewah si pakar bedah tersebut. Bila anak kita mencelah : adik nak jadi pakar bedah lah ayah – maka bawalah dalam kefahaman kita, bahawa dalam perjalanan anak itu menjadi pakar bedah, akan ada beratus hujung minggu yang dikorbankan, bertahun tahun hari raya tidak dapat bersama, dan penat lelah yang akan dialami oleh sang anak dalam proses pembelajaran, mental stress yang akan menghinggapi sang anak kalau tak kena gayanya.

Meromantikkan perkahwinan pun sangat banyak berlaku untuk anak anak muda yang belum berkahwin. Perkahwinan yang diromantikkan terhad kepada majlis persandingan mewah sang artis. Senyum gembira sana sini. Photo op sana sini. Kata kata cinta yang cukup manis. Doa minta supaya jadikan perkahwinannya sama macam perkahwinan nabi nabi (kalau dia tahu apa yang dia minta, tak mungkin dia doa demikian!) Padahal yang dah berjaya mengekalkan perkahwinan berpuluh tahun akan boleh cerita : Majlis pernikahan itu sendiri adalah permulaan kepada pengorbanan demi pengorbanan yang disulami kemanisan. Sang suami dah mula kena bertanggungjawab penuh atas seorang yang lain. Sang isteri kini ada tanggungjawab besar kepada sang suami. Bila dikurniakan anak, kena ambil tanggungjawab penuh kepada anak. Hidup bersama seorang yang berlainan jantina dan berlainan perspektif , berlainan hormon, berlainan minat, berlainan prioriti. Perkahwinan itu bukan hanya romantik, tetapi perkahwinan itu adalah cabaran demi cabaran yang perlu ditempuhi pasangan dengan.

Demikianlah juga dalam menghasilkan seorang hafiz al Quran yang berkualiti tinggi. Harganya bukan pada wang ringgit atau yuran, harga sebenarnya adalah pada pengorbanan; berpisah dengan anak, tak dapat bawa anak ke kenduri atau bercuti, kehidupan anak tak seperti kehidupan anak anak sekolah biasa, pelbagai undang undang dan peraturan madrasah perlu dipatuhi dengan taat. Pengorbanan ini boleh disimpulkan dalam satu perkataan : Taat.

Ada yang bertanya : mengapa madrasah biasa biasa pun susah payah perlu proses interview untuk kemasukan pelajar baru? Dah macam Sekolah Berasrama Penuh gred AAA pula. Padahal tak terkenal pun madrasah ni? Maka perlulah kami jelaskan matlamat MATAF dan madrasah madrasah lain dengan manhaj (approach) yang sama : Kami sangat memahami harga pengorbanan yang perlu dibayar oleh pelajar sebelum mencapai tahap seorang hafiz yang berkualiti yang kami dan ibu bapa sasarkan. Ianya bukan mustahil, tetapi ianya bukan mudah. Kami nak lahirkan hafiz yang berkualiti : Hafal 30 Juz alquran, dan ingat sampai mati. Tahukah kita, banyak lulusan ‘Hafiz’ daripada pelbagai institusi, tak ingat 90% daripada al Quran apabila tamat pengajian mereka dan masuk dalam industri pekerjaan, dalam keadaan mereka membawa gelaran’ Hafiz kemana mana.

Kerana itu kami dan madrasah madrasah dengan manhaj yang sama, sangat menekankan disiplin dan suasana madrasah pada para pelajar. Rutin harian mereka bukan hanya menghafal mukasurat baru, tetapi turut mengulang hafalan hafalan lama. Semakin banyak hafalan mereka, semakin banyaklah mereka perlu mengulang dalam kelas harian.

Hafalan mereka bukan hanya proses mekanikal : bukan sekadar bergantung kepada kekuatan ingatan. Tetapi kebolehan menghafal al Quran adalah bantuan daripada Allah swt. dalam bentuk mukjizat al Quran itu sendiri. Tiada kitab dalam dunia yang dihafal ayat demi ayat, huruf demi huruf seperti al Quran dihafal oleh berjuta juta manusia sekian lama. Untuk mendapatkan mukjizat al Quran ini, anak anak perlu berada dalam suasana agama yang terpelihara. Minda mereka berada dalam wavelength madrasah. Putus daripada suasana madrasah menyebabkan kemerosotan teruk pelajar hafiz al Quran.

Tahukah anda, cuti PKP menyebabkan pelajar pelajar merosot dengan teruk pada kualiti hafazan? Selepas PKP, madrasah madrasah tidak menyambung dengan hafalan baru tetapi menghabiskan berbulan bulan untuk pelajar menghafal semula hafalan yang telah dilupakan akibat terputus daripada suasana madrasah. Tahukah anda, seorang pelajar yang pulang bermalam di rumah di luar waktu cuti (atas sebab sebab yang dibenarkan seperti sakit, urusan kerajaan dan sebagainya) akan kehilangan fokus selama beberapa hari sebelum kembali mendapat momentum pelajaran? Tahukah anda kesan video game kepada fokus pelajar? Video game adalah antara penyebab utama distraction yang menyebabkan pelajar tidak dapat fokus di dalam kelas dan tak dapat sasaran yang diletakkan oleh guru. Tahukah anda kesan pelajar yang tidak beradab dengan gurunya? Pelajar yang tidak dapat taat pada guru akan menyebabkan pelajarannya terganggu – bukan kerana guru yang menahan pelajarannya – tetapi pelajar itu terhijab daripada mukjizat al Quran yang memudahkan pelajar untuk menghafal dan menguasainya.

Demikianlah cabaran kepada semua tonggak madrasah; pelajar, guru, waris dan pengurusan; untuk menyokong dan menegakkan disiplin dan peraturan madrasah. Usaha ke atas perkara ini memerlukan semua tonggak madrasah mempunyai fikir yang sama, matlamat yang sama dan gerak kerja yang sama. Selagi pelajar tidak melangkah keluar madrasah dengan segulung sijil syahadah, inilah tugas kita!

Semoga Allah bantu usaha kita dan terima amalan amalan kita. Amiin.

Post Terkini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

    © Copyright 2025 Madrasah Tahfiz Al Fath. All rights reserved.