
Allah swt telah bersumpah dengan Masa. Masa adalah ciptaan Allah yang Allah jadikan saksi kepada suatu tragedy yang telah berlaku kepada keseluruhan umat manusia zaman berzaman, generasi demi generasi, malapetaka demi malapetaka, kerajaan demi kerajaan, kesemuanya silih berganti tetapi manusia tetapi kekal didalam tragedy kerugian. Masa adalah saksi kepada kerugian manusia sejak zaman nabi Adam a.s hingga ke saat ini, dan tragedy terbesar yang berlaku adalah kerugian masa untuk setiap insan yang hidup.
Masa itu diberi kepada setiap manusia, dan masa itu berlalu pergi tanpa menunggu sesiapa. Masa itu tak dapat disimpan, apa yang tak digunakan terus hilang dan tak dapat diambil semula. Sesiapa yang telah melepaskan masanya dengan perbuatan yang sia sia, maka kerugian atas masa itu kekal sehingga ke hari kiamat tak dapat nak dipulihkan Kembali.
Kita semua akan menyesal di akhirat nanti kerana mensia siakan masa kita di dunia ini. Jangan disebut tentang penyesalan seorang ahli neraka yang mensia siakan masanya di dunia, bahkan Seorang yang dah dimasukkan kedalam syurga akan menyesal di atas masanya yang berlalu di dunia tanpa zikir.
Saidina Muaz bin Jabal r.a berkata Rasulullah saw bersabda
“Setelah ahli Syurga memasuki syurga, mereka tidak akan menyesal atas apa apa daripada perkara dunia kecuali masa yang telah berlalu di dunia tanpa mengingati Allah swt” HR Tobarani & Baihaqi
Di Musim PKP ini, banyak masa yang terluang telah diizinkan Allah untuk kebanyakan manusia. Terpulang pada kita untuk menjadi golongan yang menyesal ataupun sebaliknya.
Allah telah memberi jawapan dalam surah al Asr bagaimana untuk menyelamatkan diri daripada kerugian: (baca surah)
Marilah kita beriman, dan beramal soleh, dan berpesan pesan dengan Kebenaran, dan berpesan pesan dengan kesabaran.
Marilah kita berusaha bergerak ke arah kesempurnaan dalam menunaikan 4 perkara tersebut, sebagai seorang Islam tak dapat tidak kita mesti memperbaiki Iman dan Amal soleh kita, dan sebagai tugas kita yang kita buat sehari hari, kita usaha untuk guna masa kita sebaik baiknya untuk melakukan berpesan pesan kepada umat manusia di atas kebenaran iaitu kalimat Tauhid dan berpesan pesan dengan sifat istiqamah , mujahadah dan kesabaran.