Tawakal
Tawakkal adalah sifat orang yang beriman. Allah berfirman :
(Ali Imran (3): 159).
“Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu Berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. karena itu ma’afkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu[246]. kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, Maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.”
Maksud Tawakkal di sisi Ibn al-Athir adalah, tawakkal bermaksud menyerahkan urusan kepada pihak lain atau menggantungkan kepadanya. Hal ini disebabkan kerana kepercayaan penuh kepada yang diserahkan atau ketidakmampuan menangani sendiri. Ibnu Rajab menyatakan bahawa hakikat tawakal adalah benarnya penyandaran hati kepada Allah SWT dalam meraih maslahah dan menolak mudarat berhubung urusan dunia dan akhirat, menyerahkan semua urusan kepada Allah SWT, serta pengukuhan iman bahwa tidak ada yang memberi, menghalang, memudaratkan dan memberikan manfaat kecuali Dia
Allah swt telah menjanjikan kepada orang yang bertawakkal dalam surat at Talaq, yang lebih dikenali dengan ayat seribu dinar :
At Talaq; 2-3
dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.
Kebanyakan manusia membincangkan konsep tawakal dengan menuduh orang yang bertawakal sebagai tidak berikhtiar, akan tetapi ulama sering mengingatkan kita yang ikhtiar itu adalah sesuatu yang semulajadi, dan tidak dapat tidak akan dilakukan oleh manusia. Tawakal kepada Allah adalah pergantungan hati dan perasaan kepada Allah, dalam keadaan ikhtiar itu dilakukan dengan penuh keyakinan bahawa keputusan adalah hanya daripada Allah semata mata.
Sebagai suatu permisalan, seorang miskin datang ke istana raja memohon bantuan makanan. Si miskin pun berjalan berbatu batu dari kampungnya ke istana, menunggu di hadapan pintu istana sehingga pintu dibuka, menunggu raja hadir di balai menunggu , bercakap pula dengan raja dalam menyatakan kesusahannya, selepas raja mengizinkannya mendapatkan bantuan, si miskin itu mengisi 20 helai borang permohonan bantuan, kemudian berjalan pula ke Gudang makanan, dan memikul buntil makanan sumbangan daripada raja berjalan berbatu batu ke rumahnya.
Nah, pada semua perkara yang dilalui oleh si miskin tadi : berjalan berbatu batu, menunggu, mengisi borang, memikul buntil makanan, dan berjalan pula berbatu batu pulang ke rumahnya; si miskin tadi tidak meletakkan harapan pada usahanya yang banyak itu, tetapi meletakkan harapannya pada si raja agar memberinya makanan. Bahkan, si miskin itu akan menurut apa sahaja perintah raja yang logik dan tak logik. Pada fikiran si miskin itu, apa faedahnya mengisi borang berhelai helai, bagi sahajalah sumbangan itu, bukannya mahal pun. Akan tetapi si miskin itu tetap mentaati perintah dengan mengisi setiap ruang kosong di dalam borang dengan tulisan yang paling cantik boleh digagahinya.
Demikianlah dalam ikhtiar dan usaha kita seharian dalam apa sahaja yang kita ingin capai dalam kehidupan, kita mungkin meletakkan seluruh kudrat kita untuk mendapatkan sesuatu perkara, tetapi kita letakkan tawakal kita hanya pada Allah swt. Apabila kita faham yang memberi hanya Allah dan bukan pada kudrat dan usaha kita, kita akan faham yang perlu kita tumpukan adalah pada perintah perintah Allah, tak kira samada kita faham atau tidak perintah itu, tetapi kita taati atas kefahaman yang Perintah Raja segala Raja yang paling patut diutamakan, kerana hanyasanya yang mengurniakan adalah Dia Raja segala Raja.