Pesanan untuk Waris sempena PKP

Assalamualaikum wbt
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah atas segala yang Allah kurniakan, dalam bentuk nikmat atau ujian, kerana bagi orang beriman, zikirnya adalah Alhamdulillah atas segala keputusan ALlah, dan istighfar atas amalan amalannya; khuatir kalau amalannya itu tidak diterima.

Marilah kita tambah ketaqwaan kita kepada Allah dengan kita tambah baik amalan kita, dan kita jauhi perkara perkara yang Allah larang.

Sempena musim wabak COVID19 ni, kita pun maklum pelajaran anak kita terhad kepada pengajian online. Alhamdulillah, 2 orang ustaz madrasah kita sedia untuk mengadakan kelas harian sebagaimana kelas di madrasah, namun secara online. Saya ucapkan terima kasih kepada ibu bapa atas penglibatan tuan dan puan memastikan pelajaran anak anak tidak merudum semasa PKP.

Saya suka untuk mengingatkan diri saya dan tuan puan sekalian tentang falsafah operasi Madrasah Tahfiz al-Fath (MATAF), kami menyediakan pendidikan hafalan al Quran untuk anak anak atas dasar taqwa, bukannya atas dasar mencari keuntungan. Kerana itu yuran yang kami kenakan selama ini adalah pada kadar minimum dan sememangnya tidak mencukupi untuk menampung kos operasi Madrasah. Kos yang tidak mencukupi itu ditampung oleh infaq para dermawan secara langsung ataupun melalui platform tabung masjid. Bahkan kami selalu menegaskan bahawa keberadaan pelajar di madrasah MATAF adalah bergantung kepada disiplin pelajar dengan sokongan padu ibu bapa, dan bukannya kemampuan ibu bapa membayar yuran bulanan.

Suka saya ingatkan tentang disiplin pelajar dalam menghadiri kelas online. Disiplin pelajar ini akan diambil kira walaupun kelas dilakukan secara online. Kegagalan untuk hadir tanpa sebab wajar akan dikira sebagai kesalahan disiplin. Kelas sebegini adalah untuk kebaikan pelajar. Sebagaimana tuan puan maklum, jadual harian pelajar dalam suasana madrasah adalah resipi penting kejayaan seorang hafiz. Kelas online ini sekurang kurangnya membantu jadual harian pelajar di rumah sepanjang musim PKP.

Berkenaan dengan yuran madrasah, kami telah memutuskan bahawa yuran pengajian untuk bulan April adalah seperti berikut :

Yuran pengajian adalah 50% (separuh) daripada kadar bulanan biasa. Ini mengambil kira kelas online yang dijalankan oleh ustaz serta tiada perbelanjaan operasi madrasah seperti biasa (belanja untuk makanan, bil elektrik dan sebagainya).

YURAN MATAF MUSIM PKP
Pelajar asrama – RM275
Pelajar harian – RM100

Jika tuan/puan menghadapi masalah untuk menjelaskan yuran semasa musim PKP ini, hubungi admin (Faiz) untuk perbincangan.

Leave a Reply