You are currently viewing Mengisi kelompangan yang ditinggalkan Jemaah Tabligh

Mengisi kelompangan yang ditinggalkan Jemaah Tabligh

Pandemik Covid 19 yang ditetapkan oleh Allah ke atas umat manusia meninggalkan banyak kesan negatif, yang berlangsung sehingga ke hari ini. Kesan negatif yang jelas dalam sektor sosial dan ekonomi sudah diulas oleh banyak pihak dan tak perlu saya tambah lagi komentar dalam topik itu. Namun kesan negatif dalam urusan urusan agama masih banyak yang kekal dan kurang diulas hingga ke hari ini.

Amalan jarak saf yang bercanggah dengan perintah Rasulullah s.a.w terpaksa dikuatkuasakan di masjid masjid. Normalisasi tidak ke masjid sudah berlaku pada sesetengah individu : tiada rasa bersalah apabila tidak ke masjid walaupun untuk solat Jumaat. Masih ada yang tidak ambil tahu pun solat Jumaat sudah dibenarkan di masjid masjid; hanya selesa menganggap masjid masih tutup dan tidak perlu rasa bersalah jika tidak ke masjid.

Kebiasaan tidak ke masjid dilihat sebagai suatu kejelikan besar oleh kumpulan Jemaah Tabligh, yang mengambil serius tanggungjawab mengimarahkan masjid. Bukti bukti jelas daripada Quran dan Hadith tentang kedudukan solat jemaah di masjid yang sangat tinggi dalam Islam menjadi bahan bakar kepada semangat mereka dalam usaha harian mereka mengajak manusia ke rumah Allah. Aktiviti berjumpa dengan manusia dengan agenda memujuk mereka agar menjadi lazim ke masjid adalah suatu prinsip teras dalam usaha mereka mengislahkan diri, keluarga, masyarakat dan umat Islam keseluruhannya.

Jika ada kerisauan mengapa sipolan itu tidak kemasjid atau menjaga amalan solat, sekurang kurangnya dalam rangka usaha Jemaah Tabligh , rumah si polan itu pastu sudah diketuk dengan niat untuk berjumpa dan mengajaknya ke masjid; sekalipun setiap kali pintu diketuk sipolan tiada dirumah. Sekurang kurangnya di hadapan Allah, umat ini ada jawapan adakah kamu pernah usaha untuk mengajaknya ke masjid; jawapannya JEMAAH TABLIGH PERNAH CUBA YA ALLAH.

Namun di zaman ketakutan pada COVID19 ini, usaha Jemaah Tabligh masih lagi tidak dibenarkan walaupun kluster Sri Petaling sudah tamat 4 bulan selepas ianya bermula. Tiada aktiviti muzakarah, taklim dan bayan di masjid masjid dan surau surau. Tiada ziarah pintu ke pintu pada petang petang hari. Tiada perhimpunan besar di masjid masjid markas. Tiada jemaah yang khuruj di masjid masjid dan di surau surau.

Usaha outreach secara istiqamah yang berlaku semasa ziarah pintu ke pintu kini menjadi yatim piatu. Kalam dakwah yang disampaikan mata ke mata dan hati ke hati persis sunnah Rasulullah s.a.w sudah kehilangan lidah penyambung. Kerisauan atas COVID subur atas usaha yang tak putus putus oleh para menteri, doktor, cendikiawan, ustaz dan imam; mengkuarantinkan kerisauan atas umat bersama sama jemaah tabligh. Usaha ini adalah suatu yang sangat penting dalam menjadikan Islam sebagai suatu insititusi mapan. Semakin segar, semakin kuat dan semakin membangun. Setiap perkara yang penting diuruskan secara mata bertentang mata. Nak pinjam duit, berjumpa mata ke mata dengan pemberi pinjam. Jemput kenduri. Nak meminang anak dara. Nak bincang pelaburan yang berjuta. Takkan urusan iman dan amal cukup sekarang post di facebook dan forward artikel panjang berjela di whatsapp? Kasihan pada kita yang anggap itu sudah memadai. Kasihan.

Kalau sebelum ini azan Maghrib menjadi titik henti atas semua aktiviti harian (walaupun dia tak bersolat sekalipun), kini azan Maghrib tidak ada apa apa kepentingan lagi untuk sebahagian individu. Azan di waktu solat yang lain juga di abaikan seumpama detikan jam sekadar menunjukkan waktu.

Gambar sekadar hiasan

Siapakah yang akan mengambil tanggungjawab menjadi wali kepada anak yatim ini? Apakah jawapan kita kepada Allah Rabbul Jalil bila ditanya : apa tindakan kamu ke atas jiran jiran kami ketika mereka tidak mempedulikan seruan azan?

This Post Has One Comment

  1. Syurabro

    Blk solat isya beberapa hr yg lps terserempak seorg anak muda laman villa sdg berjogging di luar pagar msjd. No offence about jogging only the timing of the activity was so not right. Something i can’t brain myself. Ignorance & insensitivity rate at the highest level

Leave a Reply