Solat sunat hifzul quran (memelihara Quran) ini adalah amalan kebiasaan pelajar pelajar madrasah dalam usaha menguatkan ingatan mereka terhadap alQuran. Solat sunat ini dilakukan setiap minggu pada malam Jumaat. Solat sunat ini adalah berdasarkan hadith berikut :
Daripada Ibn ’Abbas r.a. katanya: Ketika kami bersama-sama dengan Baginda s.a.w., tiba-tiba datang ’Ali bin Abi Talib r.a. mengadu kepada Baginda s.a.w.: Demi ibu bapa-ku untukmu, aku secara tiba-tiba tidak mampu untuk mengingati al-Quran yang telah dihafaz, telah aku cuba untuk mengingatinya tetapi aku tidak mampu. Sabda Rasulullah s.a.w.: Wahai Abu al-Hasan, mahukah kamu aku ajarkan beberapa kalimah yang mana ianya akan memberikan faedah kepadamu dan kepada orang yang kamu ajari serta mengukuhkan lagi ingatanmu terhadap apa yang engkau pelajari? Kata ’Ali r.a.: Tentu sekali ya Rasulallah, ajarkanlah aku perkara tersebut. Sabda Baginda s.a.w.: Bilamana tiba malam Jumaat maka jika kamu mampu untuk bangun pada sepertiga malam yang terakhir, yang mana waktu tersebut adalah waktu terakhir yang akan disaksikan oleh para malaikat, dan waktu yang mustajab doanya, sesungguhnya saudaraku Ya’qub a.s. telah berkata kepada anaknya maksudnya:
Aku akan memohon ampun bagimu kepada Allah Taala (surah Yusuf: 98)
dan dia menyebut: Sehingga sampai malam Jumaat nanti. Tetapi jika kamu tidak mampu untuk bangun pada waktu tersebut, maka (bolehlah untuk kamu) bangun pada pertengahan malam, dan jika tidak juga mampu, maka bolehlah bagimu bangun pada permulaan malam. Dan dirikanlah solat sebanyak 4 rakaat. Bacalah pada rakaat yang pertama dengan surah al-Fatihah dan Surah Yaasin. Dan pada rakaat kedua bacalah surah al-Fatihah dan Surah al-Dukhan, dan pada rakaat ketiga bacalah surah al-Fatihah dan surah al-Sajdah dan pada rakaat keempat bacalah Surah al-Fatihah dan surah al-Mulk. Apabila kamu telah selesai tasyahhud, maka berzikirlah memuji Allah Taala, kemudian pujilah Dia dengan sebaik-baik pujian, dan selawatlah kamu ke atas aku dengan sebaik-baik selawat dan selawat juga ke atas para Nabi dan mohonlah keampunan ke atas golongan mukminin dan mukminat dan kepada saudara-saudaramu yang telah mendahului kamu dengan keimanan mereka kepada Allah Taala dan kemudian sebutkanlah olehmu pada akhirnya dengan doa ini:
اللهم ارْحَمْنِي بِتَرْكِ الْمَعَاصِي أَبَدًا ما أَبْقَيْتَنِي وَارْحَمْنِي أَنْ أَتَكَلَّفَ ما لَا يَعْنِينِي وَارْزُقْنِي حُسْنَ النَّظَرِ فِيمَا يُرْضِيكَ عَنِّي اللهم بَدِيعَ السماوات وَالْأَرْضِ ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ وَالْعِزَّةِ التي لَا تُرَامُ أَسْأَلُكَ يا الله يا رَحْمَنُ بِجَلَالِكَ وَنُورِ وَجْهِكَ أَنْ تُلْزِمَ قَلْبِي حِفْظَ كِتَابِكَ كما عَلَّمْتَنِي وَارْزُقْنِي أَنْ أَتْلُوَهُ على النَّحْوِ الذي يُرْضِيكَ عَنِّيَ اللهم بَدِيعَ السماوات وَالْأَرْضِ ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ وَالْعِزَّةِ التي لَا تُرَامُ أَسْأَلُكَ يا الله يا رَحْمَنُ بِجَلَالِكَ وَنُورِ وَجْهِكَ أَنْ تُنَوِّرَ بِكِتَابِكَ بَصَرِي وَأَنْ تُطْلِقَ بِهِ لِسَانِي وَأَنْ تُفَرِّجَ بِهِ عن قَلْبِي وَأَنْ تَشْرَحَ بِهِ صَدْرِي وَأَنْ تعمل بِهِ بَدَنِي لأنه لَا يُعِينُنِي على الْحَقِّ غَيْرُكَ ولا يُؤْتِيهِ إلا أنت ولا حَوْلَ ولا قُوَّةَ إلا بِاللَّهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ
Sabda Baginda s.a.w. lagi: Wahai Abu al-Hasan, lakukanlah olehmu solat ini pada tiga kali Jumaat, atau lima Jumaat , atau tujuh Jumaat. Dengan Izin Allah akan mustajab doamu tersebut. Demi Tuhan yang mengutuskan aku dengan kebenaran, tidak akan tersalah sedikitpun seorang mukmin (yang beramal dengannya). Kata Ibn ‘Abbas r.a.: Demi Allah, tidak lama selepas ‘Ali melaksanakannya lebih kurang lima kali atau tujuh kali, maka beliau sekali lagi datang bertemu Baginda s.a.w. di dalam majlis yang seumpama sebelumnya dan beliau berkata: Ya Rasulallah, aku sebelum ini hanya mampu menghafaz empat ayat dan seumpamanya sahaja, bila aku membaca semula maka ianya akan hilang, tapi sekarang aku sudah mampu menghafaz 40 ayat dan seumpamanya. Bilamana aku membacanya semula aku mendapati seolah-olah al-Quran berada di depan mataku. Begitu juga dengan hadis, bila aku mengulang-ulangnya maka sekejap sahaja ianya akan hilang daripada ingatanku, tetapi sekarang, aku mendengar banyak hadis, maka tiada satu huruf pun daripadanya hilang dari ingatanku. Sabda Baginda s.a.w. setelah mendengar perkara tersebut: Kamu adalah mukmin, demi Tuhan Pemilik Kaabah, wahai Abu al-Hasan. (HR al-Tirmizi)