You are currently viewing Salam Maal Hijrah

Salam Maal Hijrah

Segala puji pujian selayaknya untuk Allah yang mencipta, memberi rezeki dan mentadbir seluruh alam, atas nikmat nyawa yang masih panjang, bersama dengannya nikmat yang lebih besar iaitu iman, yang memungkinkan kita berada dalam ketaatan kepada Allah.

Ketibaan kita ke tahun baru pada pengiraan masa itu sendiri tidak ada apa yang istimewa. Yang disambut bukan tarikh baru atau pertambahan nombor pada tahun di kalendar. Tetapi yang disambut adalah nikmat peluang beramal kepada Allah masih di terbuka untuk yang tiba di tahun 1442 hijrah ini. Ramai di kalangan kita telah ditamatkan peluang ini, dan selepas itu tidak ada lagi peluang dan hanya berpada dengan apa yang telah dibuat sepanjang usia yang diberi.

Kerana itulah kita meraikan ketibaan tahun baru, yang diraikan adalah peluang. Yang disyukuri adalah kesempatan. Yang kita gembirakan adalah keberadaan kita dalam iman tatkala kita melangkah kepada perkiraan kalendar yang baru.

Maka wajar lah kita tunaikan hak kesyukuran kita itu dengan berazam untuk menambah baik amalan amalan soleh kita dari segi kualiti dan kuantiti. Solat semakin khusyuk, semakin panjang, semakin kerap. Doa semakin tawajjuh, semakin dekat rasanya dengan Yang Maha Mendengar. Zikir semakin banyak, naik ke 3 atau 4 digit setiap hari. Akhlak semakin indah, mulut semakin kurang bercakap sia sia, wajah semakin manis. Dakwah semakin kerap, semakin risau dengan umat.

Elok sangat kalau kita semua cari cari kelemahan diri untuk kita baiki. Carilah kawan soleh untuk kita ada pairing dalam beramal. Carilah suasana yang subur untuk kita islah diri kita. Kalau takde idea sangat, cari kawan untuk brainstorm macammana nak buat, selangkah demi selangkah; jangan kita statik dalam kemajuan agama kita.

Semoga Allah terima saya dan tuan puan semua.

Leave a Reply