Merawat hati daripada penyakit penyakit hati adalah suatu kewajipan : Mana mungkin seorang mukmin berterusan memiliki perasaan besar diri, bongkak, sangka buruk, cinta dunia, cinta kemahsyuran, kedekut, hasad dan sebagainya. Sifat-sifat tersebut tanpa perlu huraian panjang, umumnya difahami sebagai sesuatu yang buruk : suatu penyakit dan perlu diubati serta merta.
Tak ada bezanya cara kita berinteraksi dengan penyakit hati dengan penyakit tubuh badan fizikal : bila ada simptom, maka terus sahaja dicari rawatan untuk mengatasi simptom dan sumber penyakit.
Langkah pertama untuk merawat penyakit hati adalah dengan masuk kelas penyucian hati : kelas tasauf.
Maaf. Itu salah.
Langkah pertama untuk merawat penyakit hati adalah dengan mengenal pasti yang kita ada penyakit hati untuk dirawat.
Dalam kelas belajar tasauf itu sendiri memang ada ditunjukkan tanda tanda penyakit hati. Namun kalau kita masuk kelas belajar tasauf itu hanya kerana nak mengisi masa terluang sementara isya, atau kerana kita minat dengan ustaz tersebut, ada kemungkinan kita terlepas step 1 : kenal pasti penyakit dalam hati kita.
Apabila kita skip step 1, dan kita berada dalam kelas tasauf tanpa merasa dalam hati kita tidak ada penyakit, maka kelas tasauf itu akan menjadikan kita merasa dalam hati orang lain ada penyakit.
Sepatutnya tasauf itu memberikan kita suatu alat : Magnifying mirror untuk melihat cela dan kotoran dalam hati kita yang kita sendiri tak perasan!
Magnifying mirror ni (biasa jumpa di bilik hotel mahal) adalah cermin yang ada kesan zoom in pada muka kita : hingga pori pori muka, jeragat halus semuanya nampak jelas. Bulu hidung pun nampak macam hutan dara! Bila guna magnifying mirror ni, baru kita sedar macam macam cela ada kat muka kita ni bila kita tengok rapat rapat, yang mana kita tak pernah perasan pun bila tengok di cermin biasa.
Namun apabila kita tersilap langkah pertama dalam belajar tasauf, alat yang kita dapat adalah kanta pembesar yang kita guna untuk lihat kesalahan orang lain. Nampak sahaja satu orang ada jawatan tinggi, maka dikatanya orang itu takbur. Nampak sahaja orang beramal secara terbuka, dikatanya orang itu riak. Walhal bukan dalam ajaran Baginda Rasulullah saw untuk kita mengadili niat seseorang, yang kita sendiri tak nampak. Bahkan keikhlasan kita sendiri pun acapkali terhijab daripada kita sendiri! Kadang kala kita beritahu diri kita, kita ni ikhlas, padahal sebenarnya kita ada agenda lain yang kita sendiri malu nak mengaku pada diri kita sendiri.
Macammana pun, tetaplah kita semua kena usaha untuk merawat penyakit penyakit hati. Dengan terawatnya penyakit penyakit tersebut, Insya Allah ikhlas akan lebih mudah hinggap di hati.