Seringkali kita tenggelam dalam emosi Ketika menghadapi ujian ujian yang Allah turunkan. Rasa marah, sedih, tak puas hati, rasa dizalimi, rasa nak membalas; semua ini menjadi suatu pati yang meresap di dalam sanubari. Tubuh kita langsung berubah laku tanpa kita boleh kawal: badan jadi panas, tak boleh fokus, fikiran melayang, mood pun hilang.
Namun saban hari di dalam amalan harian yang kita lakukan sebagai tanda keimanan kita iaitu Solat, kita ulang ulang satu kriteria yang penting; cukup penting hingga Allah perintahkan kita minta perkara itu berulang ulang dalam satu hari.
Dalam surah al Fatihah, kita baca berulang ulang :
Apakah yang kita baca sehari hari itu kita fahami dan adakah ia meresap dalam jiwa sanubari kita?
Kita mohon agar Allah kurniakan petunjuk kepada jalan yang lurus, yang telah diberikan kepada orang orang yang telah diberi nikmat. Takrifan nikmat ini adalah takrifan di sisi Allah : Nikmat sebenar yang hadir daripada kurnia Allah yang baik dan bermanfaat di dunia dan di akhirat, bukannya takrifan nikmat yang kita sendiri faham dengan neraca nafsu dan keduniaan. Yang nafsu kita faham dengan nikmat adalah apa apa yang memuaskan nafsu; kemewahan yang tak berkesudahan, melampiaskan tuntutan nafsu kehaiwanan pada setiap cetusan, tidak mengizinkan sedikit pun kesusahan dunia, apa apa yang tidak menggembirakan perlu dihapuskan, nafsu perlu digembirakan setiap masa : inilah takrifan nikmat berdasarkan nafsu keduniaan kita.
Akan tetapi nikmat sebenar adalah apabila Allah swt gembira dengan kita, dan kurniaan kurniaan daripada Rabb yang redha dengan amalan hambanya itulah nikmat yang kita pohon daripada Allah Rabbul Jalil.
Permohonan itu tak terhenti sekadar itu, bahkan kita juga mohon sehari hari pada Allah agar kita tak dijadikan di kalangan orang yang sesat, dan bukan orang yang dimurkai. 2 keadaan ini lah sepatutnya dijadikan sempadan dalam kita menghadapi ujian ujian yang Allah beri pada kita : apa pun Tindakan kita dalam menghadapi ujian, apa pun respon kita, jangan kita terjerumus ke dalam golongan yang sesat atau golongan yang dimurkai Allah swt.
Ketika Nabi saw pulang daripada Taif, selepas mengalami peristiwa penghinaan demi penghinaan mental dan fizikal daripada penduduk Taif; kecederaan Baginda saw bukan hanya pada fizikal; yang mana tubuh baginda berdarah darah akibat dibaling dengan batu Ketika dihalau penduduk Taif, tetapi bagaimana Nabi saw menguruskan emosi baginda yang dihalau dengan penuh penghinaan. Nabi saw duduk di dalam sebuah kebun dan membaca doa ini :
اللّهُمّ إلَيْك أَشْكُو ضَعْفَ قُوّتِي ، وَقِلّةَ حِيلَتِي ، وَهَوَانِي عَلَى النّاسِ، يَا أَرْحَمَ الرّاحِمِينَ ! أَنْتَ رَبّ الْمُسْتَضْعَفِينَ وَأَنْتَ رَبّي ، إلَى مَنْ تَكِلُنِي ؟ إلَى بَعِيدٍ يَتَجَهّمُنِي ؟ أَمْ إلَى عَدُوّ مَلّكْتَهُ أَمْرِي ؟ إنْ لَمْ يَكُنْ بِك عَلَيّ غَضَبٌ فَلَا أُبَالِي ، وَلَكِنّ عَافِيَتَك هِيَ أَوْسَعُ لِي ، أَعُوذُ بِنُورِ وَجْهِك الّذِي أَشْرَقَتْ لَهُ الظّلُمَاتُ وَصَلُحَ عَلَيْهِ أَمْرُ الدّنْيَا وَالْآخِرَةِ مِنْ أَنْ تُنْزِلَ بِي غَضَبَك أَوْ يَحِلّ عَلَيّ سُخْطُكَ، لَك الْعُتْبَى حَتّى تَرْضَى وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوّةَ إلّا بِك
Maksudnya :
“Allahuma Ya Allah, kepada-Mu aku mengadukan kelemahanku, kekurangan daya upayaku di hadapan manusia. Wahai Tuhan Yang Maharahim, Engkaulah Tuhan orang-orang yang lemah dan Tuhan pelindungku. Kepada siapa hendak Engkau serahkan nasibku? Kepada orang jauhkah yang berwajah muram kepadaku atau kepada musuh yang akan menguasai diriku? Asalkan Engkau tidak murka kepadaku, aku tidak peduli sebab sungguh luas kenikmatan yang Engkau limpahkan kepadaku. Aku berlindung kepada nur wajah-Mu yang menyinari kegelapan dan karena itu yang membawa kebaikan di dunia dan akhirat dari kemurkaan-Mu dan yang akan Engkau timpakan kepadaku. Kepada Engkaulah aku adukan halku sehingga Engkau ridha kepadaku. Dan, tiada daya upaya melainkan dengan kehendak-Mu.”
Ambil lah iktibar daripada Doa Baginda Rasulullah saw, yang selepas diberi penghinaan yang besar, Baginda mengadu pada Allah swt, dan emosi baginda hanya dibentuk oleh tumpuan kepada perkara perkara berikut : Asalkan Allah tidak murka pada Nabi saw, dan betapa luasnya nikmat Allah telah kurniakan pada Baginda Nabi saw. Dalam doa nabi saw itu juga ada elemen Petunjuk, nikmat dan perlindungan daripada menjadi orang yang dimurkai, sebagai satu petanda untuk kita belajar cara berinteraksi dengan emosi yang bercelaru apabila menghadapi ujian ujian di dunia yang sementara ini.